KUALA LUMPUR, 26 September - Datuk Amarjit Singh Gill mencatat sejarah apabila dipilih sebagai Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada Kongres ke-194 badan induk itu di Kigali, Rwanda.
Pemilihan Datuk Amarjit yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), menjadikan beliau rakyat Malaysia pertama menduduki jawatan tertinggi UCI, sekali gus mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
Selain Datuk Amarjit, turut dipilih sebagai Naib Presiden UCI bagi penggal 2025–2029 ialah Enrico Della Casa (Itali), Katerina Nash (Republik Czech) dan José Manuel Pelaez (Cuba).
Presiden UCI, David Lappartient dari Perancis mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga selepas menang tanpa bertanding.
Kongres yang dihadiri 132 perwakilan itu turut disaksikan Presiden Rwanda, Paul Kagame, bersempena penganjuran Kejohanan Jalan Raya Dunia UCI 2025 edisi pertama di Afrika.
Ia turut dianjurkan bersempena ulang tahun ke-125 badan induk berkenaan.
Datuk Amarjit yang juga Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), sebelum ini berkhidmat dua penggal sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI sejak 2017.
Beliau mengikuti jejak langkah bapanya, Tan Sri Darshan Singh Gill yang pernah menganggotai jawatankuasa sama dari 1996 hingga 2005.
"Ini penghormatan besar buat Malaysia dan Asia. Pemilihan ini adalah bukti kepercayaan komuniti berbasikal global, dan saya dedikasikan kejayaan ini untuk membangunkan sukan berbasikal dengan penuh integriti, inklusiviti dan visi," katanya.
Sementara itu, David Lappartient menyifatkan pemilihan Datuk Amarjit sebagai mencerminkan suara Asia yang semakin berpengaruh dalam arena global serta yakin beliau akan memainkan peranan penting dalam pembangunan berbasikal dunia.
Selain itu, Kongres turut memilih barisan baharu Jawatankuasa Pengurusan UCI bagi penggal 2025–2029 dengan Khireddine Barbari (Algeria), Pierre Laflamme (Kanada), Anne Gripper (Australia) serta tujuh wakil Eropah termasuk Michel Callot (Perancis) dan Tom Van Damme (Belgium).