KUCHING, 26 September - Kontinjen tuan rumah membuka tirai cemerlang pada hari pertama acara renang Borneo Games Kuching (BGK) 2025 di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, apabila meraih lima pingat emas, sembilan perak dan empat gangsa.
Emas pertama Sarawak disumbangkan oleh Puong Wei Hii yang mengungguli acara 100 meter kuak dada lelaki dan 400 meter rampaian lelaki. Turut menyerlah, Matthias Ming Zhi Liew dalam 50 meter kuak kupu-kupu lelaki serta Chereen Yirui Ngo menerusi 400 meter rampaian wanita.
Pasukan renang Sarawak kemudian menambah satu lagi emas menerusi acara 4x100 meter rampaian campuran hasil gandingan mantap Puong Wei Hii, Job Xi Jay Tan, Kayleigh Zhi Zuan Ang dan Chereen Yirui Ngo.
Bagi kutipan perak, Sarawak mengutip sembilan pingat melalui persembahan konsisten atletnya. Antaranya Matthias (200 meter gaya bebas lelaki), Chereen (200 meter gaya bebas wanita), Kayleigh (50 meter kuak kupu-kupu & 100 meter kuak dada wanita), dan Darren Yi Chen Leong (50 meter kuak kupu-kupu lelaki).
Selain itu, Job Xi Jay Tan meraih perak dalam 100 meter kuak dada lelaki, Jeff Yu Yang Chua (50 meter kuak lentang lelaki), Shanise Jauwa Joseline Adong (50 meter kuak lentang wanita) serta Magdelene Ing Siew Lau (400 meter rampaian wanita).
Empat gangsa pula hadir menerusi Ryan Colby Poh Yuan Kueh (200 meter gaya bebas lelaki), Chereen (50 meter kuak kupu-kupu wanita), Christy Yau Xuan Wong (50 meter kuak lentang wanita) dan Sheamus Heng Yi Chew (400 meter rampaian lelaki).
Acara renang BGK 2025 dijadual berlangsung hingga 28 September, melibatkan pelbagai kategori individu lelaki, wanita dan acara berpasukan.