KUCHING, 26 September - Kontinjen Sarawak terus memperkukuh penguasaan di temasya Borneo Games Kuching (BGK) 2025 selepas menambah lima lagi pingat emas menerusi acara olahraga pada sesi pagi di Stadium Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Emas pertama Sarawak disumbangkan oleh Adiana Irence Wong dalam acara 5,000 meter jalan kaki wanita dengan catatan masa 31 minit 26.64 saat.
Kejayaan itu turut melengkapkan sapuan pingat untuk tuan rumah apabila Cristalbell Deanna Bidin meraih perak dan Cristal Chung Ke Xin membawa pulang gangsa.
Sementara itu, acara baling tukul besi wanita menyaksikan Grace Wong Xiu Mei menghadiahkan emas kedua buat Sarawak selepas melakukan lontaran sejauh 57.26 meter. Pencapaian itu turut dilengkapkan dengan kemenangan rakan sepasukan, Yoyo Wong Zhi Yao yang meraih perak serta Liee Woon Ping yang membawa gangsa.
Dalam acara 100 meter berpagar wanita, Syarirah Nur Alisya Syed Zafirna muncul juara dengan catatan masa 15.29 saat, sekali gus mengatasi rakan sepasukan, Darellyn Denisa Deng Dannis yang berpuas hati dengan pingat perak.
Bagi kategori lelaki, emas keempat Sarawak hadir melalui acara 110 meter berpagar apabila Elvin Yap Zhi Xian menamatkan saingan dengan masa 14.52 saat. Pingat perak dan gangsa dimenangi atlet dari Sabah.
Emas kelima pula disumbangkan menerusi acara 4x400 meter lelaki apabila gandingan Muhammad Qarliff Kuyt Abdullah, Ashven Austin Adrien, Yusry Muhammad Saifullah dan Mosmilian Astute Malam mencatat masa 3 minit 19.62 saat.
Secara keseluruhan, sesi pagi menyaksikan Sarawak mengumpul lima emas, enam perak dan lima gangsa, sebelum acara olahraga bersambung pada sebelah petang.