KUALA LUMPUR, 26 September- Ketua Jurulatih Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi kini direhatkan daripada tugasan bersama skuad Merah Kuning.
Perkara itu disahkan SFC dalam satu kenyataan, hari ini.
SFC merakamkan penghargaan atas segala sumbangan, usaha serta komitmen yang telah diberikan jurulatih dari Jepun itu sepanjang tempoh perkhidmatannya.
"SFC dengan ini mengumumkan bahawa Katsuhito Kinoshi telah direhatkan daripada tugas beliau sebagai ketua jurulatih pasukan utama.
"Pihak kelab ingin merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada beliau atas segala sumbangan, usaha dan komitmen beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama SFC," kata pasukan itu.
Buat sementara waktu, tugas ketua jurulatih akan digalas oleh Christophe Gamel sehingga proses pelantikan jurulatih tetap baharu dimuktamadkan.
"Tanggungjawab ketua jurulatih pasukan utama kini digalas oleh Christophe Gamel secara interim sementara kelab menjalani proses pelantikan seorang ketua jurulatih tetap yang baharu," katanya.
Terdahulu, Kinoshi mula mengambil alih kendalian SFC sejak pertengahan musim lalu, menggantikan Nidzam Jamil yang melepaskan jawatan pada Oktober lalu.
Bekas pembantu jurulatih skuad kebangsaan Serbia itu berjaya menamatkan kemarau trofi selama 10 tahun apabila membawa SFC menjuarai Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) musim lalu.
Musim ini, beliau merekodkan lima kemenangan, satu seri dan empat kekalahan dalam 10 perlawanan merangkumi semua kejohanan, setakat ini.