KUALA LUMPUR, 13 September - Pemain skuasy negara Rachel Arnold berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Mesir 2025.
Dia tampil menewaskan rakan senegara, Aifa Azman dalam pertembungan sengit lima set di Giza, malam tadi.
Beraksi di O West Complex, Rachel bangkit selepas tewas pada set pembukaan untuk mencatat kemenangan 3-2 (9-11, 11-5, 11-5, 11-13, 12-10).
Selepas ini dia dijadual bertemu wakil tuan rumah Salma Hany bagi aksi seterusnya.
Turut mara ke pusingan kedua, Aira Azman selepas menunjukkan pemain tuan rumah Nadine Shahin jalan keluar 3-2 (6-11, 9-11, 11-3, 11-7, 11-3).
Aira perlu menentang seorang lagi pemain Mesir, Hania El Hammamy yang juga nombor tiga dunia.
Sementara itu, pemain nombor satu negara S. Sivasangari yang meraih bye akan memulakan kempen pada pusingan kedua bertemu Nour Heikal dari Mesir.
Dalam saingan lelaki pula, Ng Eain Yow akan membuka tirai saingan pusingan kedua berdepan Kareem El Torkey.
