LABUAN, 13 September- Seramai 10 pesilat terdiri daripada pelajar sekolah menengah akan mewakili Labuan dalam Kejohanan Silat “1 Silat 1 Sekolah” Jemputan Kebangsaan yang berlangsung di Terengganu.
Kejohanan itu anjuran bersama SMK Bukit Mentok dan SMK Permai dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
Pertandingan berkenaan akan berlangsung selama empat hari bermula esok di Dewan Darul Iman Training Centre (DITC) Kemaman.
Dalam pada itu, Yand Dipertua PESAKA Labuan, Mohd Khairul Abd Ghani turut meluangkan masa bersama peserta silat Labuan di Lapangan Terbang Labuan untuk memberikan sokongan.
Mohd Khairul ketika dihubungi pemberita RTM memaklumkan PESAKA Labuan menyasarkan tiga kutipan pingat diperoleh Labuan dalam kejohanan itu.
Selain itu, beliau mengharapkan pesilat Labuan akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Sukan Sekolah ASEAN yang berlangsung di Brunei Darussalam hujung tahun ini.
