JEDDAH, 30 Julai- Putera Mahkota dan Perdana Menteri, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud menyokong usaha Arab Saudi untuk membida menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Sokongan ini diberikan selepas keperluan terperinci untuk bidaan dilengkapkan sebelum penyerahan buku bidaan kepada FIFA di ibu negara Perancis, Paris, oleh satu delegasi yang diketuai oleh Menteri Sukan dan Presiden Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Turki bin Faisal Al Saud, serta Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) Yasser Al Misehal.
Sebagai tanda pencapaian penting ini, Putera Abdulaziz menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota atas sokongan dan bimbingan baginda berdua kepada sektor sukan yang penting ini.
Putera Abdulaziz menambah bahawa dengan sokongan ini, Kerajaan Arab Saudi akan menjadi tuan rumah global untuk sukan ketika negara ini sedang mengalami pertumbuhan dan transformasi yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menteri Sukan Arab Saudi itu berkata: "Kami komited untuk menjadi tuan rumah edisi luar biasa Piala Dunia FIFA yang akan menampilkan 48 pasukan dalam satu negara buat kali pertama dalam sejarah kejohanan ini."
Putera Mahkota yang menyelia secara langsung cita-cita Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah acara bola sepak global ikonik ini menunjukkan komitmen baginda untuk meningkatkan masa depan sukan Arab Saudi, selaras dengan Wawasan 2030, dan membantu memupuk generasi atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi sejagat.
"Kami akan terus menunjukkan kepada dunia transformasi negara kami dalam semua sektor, apa yang boleh ditawarkan oleh populasi muda dan dinamik kami serta keupayaan besar kami untuk menjadi tuan rumah acara sukan terbesar di dunia."
Penyerahan rasmi buku bidaan akan berlangsung dalam satu majlis yang diadakan oleh FIFA di Paris. Delegasi akan diketuai oleh Putera Abdulaziz dan Yasser Al Misehal, bersama dua kanak-kanak daripada pusat latihan belia wilayah SAFF.
Penyertaan dua kanak-kanak ini adalah sebahagian daripada inisiatif SAFF yang melambangkan cita-cita generasi muda Arab Saudi untuk menjadi tuan rumah acara bola sepak terbesar di dunia itu.
Buku bidaan rasmi adalah sebahagian daripada perjalanan bidaan Piala Dunia FIFA 2034 yang bermula pada 4 Oktober 2023 apabila Arab Saudi melalui SAFF mengumumkan hasrat untuk membida menjadi tuan rumah kejohanan itu.
Ini diikuti dengan penyerahan surat hasrat rasmi oleh SAFF kepada FIFA, sebelum identiti jenama bidaan didedahkan dengan slogan “Membesar. Bersama.”
Tempoh bidaan dijangka berakhir pada Disember tahun ini apabila FIFA secara rasmi mengumumkan negara tuan rumah Piala Dunia FIFA 2034 semasa satu mesyuarat Perhimpunan Agung. - Bernama-SPA