fb fb fb fb fb

AUG 2024: Pungutan pingat kontinjen negara masih di landasan tepat- CDM

CDM kontinjen negara ke AUG 2024, Suhairi Ismail

SURABAYA, 2 Julai- Setakat hari ketujuh temasya, Kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 masih belum menghampiri separuh daripada sasaran yang ditetapkan iaitu 35 pingat emas.

Bagaimanapun, Chef De Mission AUG Surabaya-Malang 2024, Suhairi Ismail optimis Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran memandangkan sukan lubuk emas seperti olahraga, memanah dan sukan tempur membuka tirainya, hari ini.

Setakat pagi tadi, kontinjen negara kekal di tangga ketiga carta pungutan pingat dengan keseluruhan 15 pingat emas 17 perak dan 28 gangsa di belakang Thailand dan tuan rumahnya Indonesia mengungguli carta dengan 65 emas, 51 perak dan 35 gangsa.

Minggu pertama temasya dwitahunan itu juga menyaksikan dua sukan iaitu judo dan renang telahoun melepasi sasaran awal yang ditetapkan.

Sukan Judo yang menetapkan sasaran dua emas menutup kempen AUG dengan pungutan 3 emas 3 perak dan satu gangsa.

Sementara skuad renang juga menampilkan satu aksi yang cemerlang dengan meraih 9 pingat emas, 7 perak dan 16 gangsa.

Sementara itu, tujuh pemain futsal negara dilaporkan mengalami keracunan makanan sehingga menjejaskan momentum aksi final bertemu Indonesia..

Suhairi berkata pasukan perubatan negara sudah memberikan yang terbaik untuk memastikan kesihatan atlet terjamin di Surabaya.

Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gelora Olahraga Rakyat (GOR) Futsal Universitas Negeri Surabaya, skuad futsal terlepas meraih pingat emas selepas gagal mempamerkan kekuatan sepenuhnya gara-gara mengalami keracunan makanan sejak tiba di Surabaya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE