fb fb fb fb fb

MOM tukar corak belang Harimau lebih garang, tiada lagi Jalur Gemilang emas pada pakaian rasmi Kontinjen Malaysia

Pemain badminton beregu negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menggayakan pakaian rasmi baharu Kontinjen Malaysia ke Paris 2024

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini memaklumkan pihaknya memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi untuk dipakai Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 susulan maklum balas yang bercampur baur terhadap reka bentuk dan motif Harimau yang dilihat tidak menyerlah.

Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menerusi satu kenyataan memaklumkan, logo MOM dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang diiringi lima gegelung Olimpik, berbanding logo berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

"MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

"Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti.

"Seramai 26 atlet yang mewakili negara perlu mempamerkan semangat juang tinggi dan kental bersesuaian dengan ciri-ciri dan motif belang Harimau yang ditonjolkan,"katanya.

Jelas Tan Sri Mohamad Norza, sebagai badan yang mengelolakan Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang itu bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi lebih penting melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara.

Beliau berkata, untuk kemeja-T berkolar berwarna emas, MOM mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi dengan lakaran logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

"Disebabkan faktor masa, MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja-T.

"Ini kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.

"Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,"menurut Tan Sri Mohamad Norza.

Sehubungan itu, katanya MOM mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Yonex Sunrise Malaysia yang sudah 10 tahun menjadi penaja pakaian-pakaian rasmi Kontinjen Malaysia, atas kesediaan mereka membenarkan penghasilan pakaian rasmi baharu menggunakan fabrik dan reka corak berbeza.

"MOM juga amat menghargai kesediaan Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Hannah Yeoh, menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung Persatuan Sukan Kebangsaan yang bebas dan diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) sejak 1954,"katanya.

Beliau berkata MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE