fb fb fb fb fb

PSG gugurkan Mbappe daripada skuad untuk jelajah Asia

(Kylian Mbappe)

PARIS, 22 Julai- Juara Perancis, Paris Saint-Germain pada Jumaat menggugurkan Kylian Mbappe daripada skuad untuk jelajah pra-musim ke Jepun, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap masa depan penyerang bintang itu.

PSG bagaimanapun tidak memberikan alasan mengenai ketiadaan kapten Perancis itu.

Skuad 29 pemain tersenarai dalam jelajah pra-musim termasuk adik Mbappe, Ethan Mbappe yang berusia 16 tahun serta Neymar.

Mbappe telah mengambil bahagian dalam persiapan pramusim kelab dan bermain 30 minit terakhir ketika PSG melayan Le Havre dalam perlawanan persahabatan di padang latihan pada Jumaat dan menjaringkan gol.

Mbappe membuat pengumuman pada Mei bahawa dia tidak akan melanjutkan kontraknya dengan PSG yang akan tamat tahun depan, tetapi memberi gambaran dia mahu kekal di kelab itu untuk musim terakhir.

“Saya masih mempunyai baki setahun dalam kontrak saya dan saya akan menghormati kontrak saya,” katanya.

Presiden PSG Nasser al-Khelaifi bertindak balas dengan mengatakan awal bulan ini bahawa Mbappe mesti menandatangani kontrak baru baharu.

"Kami tidak boleh membiarkan pemain terbaik dunia hari ini pergi secara percuma. Ia adalah mustahil," kata Khelaifi.

Kelab itu berada di bawah pengurusan baharu dengan Luis Enrique sebagai jurulatih.

Jelajah Asia mereka dibuka menentang kelab Cristiano Ronaldo, Al Nassr dari Arab Saudi di Osaka, pada 25 Julai.

PSG kemudian dijadual menentang Cerezo Osaka, juga di Osaka dan Inter Milan di Tokyo sebelum menamatkan jelajah di Busan, Korea Selatan, menentang Jeonbuk Motors pada 3 Ogos.

Mbappe menyertai PSG dari Monaco pada Ogos 2017 dalam perjanjian bernilai 180 juta euro (AS$196 juta) dan telah membuktikan dirinya sebagai salah seorang pemain paling terkemuka di dunia.-AFP


(Kylian Mbappe / AFP)

Media Baharu