fb fb fb fb fb

Malaysia sah hadapi Singapura, Palestin dalam aksi persahabatan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Skuad Harimau Malaya bakal mengadakan dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 bulan depan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi skuad kebangsaan (Malaysia NT) hari ini, perlawanan pertama menyaksikan anak buah Peter Cklamovski menentang seteru tradisi,  Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September, sebelum melayan kunjungan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September.

Kedua-dua perlawanan yang bermula pukul 9.00 malam itu dianggap medan penting untuk menguji kekuatan pasukan negara menjelang aksi kelayakan menentang Laos pada Oktober.

Skuad Harimau Malaya ketika ini mendahului Kumpulan F dengan enam mata selepas dua kemenangan, diikuti Vietnam (3 mata), Laos (3) dan Nepal yang masih tanpa sebarang mata.

Jadual seterusnya menyaksikan Harimau Malaya menentang Laos pada 9 dan 14 Oktober, Nepal pada 18 November sebelum menutup aksi kumpulan berdepan Vietnam pada 31 Mac 2026.

Sementara itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pengelolaan Pertandingan (LOC) bagi aksi menentang Singapura berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Dr. PS Sugumaran dengan turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman.

Antara perkara dibincangkan termasuk persiapan pertandingan, protokol dan hospitaliti, keselamatan, media, pemasaran, perubatan, tiket serta logistik, dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD