PUTRAJAYA, 18 Ogos- Kerajaan masih menilai permohonan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk menganjurkan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP), tahun depan.
Keputusan "lampu hijau" itu bergantung kepada pengumpulan data terperinci berkait pulangan pelaburan sepanjang penganjuran.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meski penganjuran perlumbaan berprestij tersebut mendapat sambutan menggalakkan, SIC perlu meyakinkan Kementerian Kewangan (MOF) terhadap pulangan yang diterima memberi manfaat secara menyeluruh.
"Semua ini memerlukan data yang kukuh untuk meyakinkan Kementerian Kewangan (MOF) bahawa terdapat pulangan pelaburan. Setiap pelaburan bukan hanya untuk tujuan pelancongan, tetapi mesti memberi impak kepada ekonomi dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
Sebagai contoh, penganjuran MotoGP mampu menjana sekitar 4,500 pekerjaan sementara setiap tahun. Namun, kita juga mahu kemahiran itu dapat diwariskan kepada rakyat. Maka, sebab itu data amat penting bagi membuktikan bahawa ia bukan satu pembaziran, sebaliknya memberi manfaat yang lebih luas kepada sektor lain," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di sini, hari ini.
SIC kini dalam proses rundingan bersama pemegang hak penganjuran MotoGP, Dorna Sports bagi memperbaharui kontrak GP Malaysia yang akan tamat pada 2026.