fb fb fb fb fb

KBS optimis atlet badminton RTG menyinar di Kejohanan Dunia BWF

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh/BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 Ogos- Harapan tinggi diletakkan kepada skuad badminton negara dalam mempamerkan prestasi cemerlang pada Kejohanan Dunia BWF yang akan berlangsung 25 hingga 31 Ogos depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata beliau yakin setiap wakil negara berpeluang untuk menampilkan aksi terbaik di Adidas Arena, Paris, Perancis itu, terutama barisan atlet Program Road To Gold (RTG) dalam meraih kejayaan.

Hannah turut mengulas, keputusan pada setiap kejohanan tidak menjadi keutamaan dalam menentukan kedudukan atlet dalam RTG, sebaliknya Petunjuk Prestasi Utama (KPI) adalah berdasarkan ranking dunia setiap atlet.

"Oleh itu, kita telah memutuskan bahawa RTG diberikan tempoh dua tahun untuk menilai ranking atlet-atlet. Setakat ini, atlet-atlet RTG termasuk yang di bawah pemantauan Dr. Vella dan Datuk Dr. Ramlan mengikuti penilaian dengan baik.

Bagi badminton, tiada masalah besar, cuma kalendar pertandingan terlalu padat untuk atlet RTG. Saya mendoakan mereka sentiasa dapat bermain dengan baik dan bebas daripada kecederaan, kerana kecederaan boleh menjejaskan prestasi mereka," kata Hannah kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara yang akan beraksi di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025, di sini.

Antara atlet badminton yang berada dalam program RTG ialah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah serta dua beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie.

Dalam majlis hari ini, seramai 53 atlet dan 27 pegawai diraikan bagi menghadapi temasya dwitahunan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi kontinjen kedua terbesar selepas tuan rumah.

Kontinjen negara akan bersaing dalam kesemua enam acara sukan yang dipertandingkan iaitu futsal, olahraga, badminton, tenpin boling, catur dan ping pong, dengan sasaran keseluruhan 16 pingat emas.

Acara sukan itu dijadual berlangsung pada 20 hingga 26 Ogos ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM