(Lionel Messi dan Sergio Busquets di bangku simpanan / REUTERS)
FORT LAUDERDALE, 22 Julai- Hasrat untuk menyaksikan Lionel Messi diturunkan dalam kesebelasan utama dalam debutnya bersama Inter Miami menentang Cruz Azul tidak kesampaian apabila bintang Argentina itu sekadar bermula di bangku simpanan.
Messi dan bekas rakan sepasukannya di Barcelona, pemain tengah Sepanyol Sergio Busquets, yang juga baru menyertai kelab Major League Soccer, sekadar disenaraikan sebagai pemain simpanan untuk perlawanan Piala Liga.
Messi dan Busquets hanya dipanggil masuk ke padang pada minit ke-54 perlawanan masing-masing menggantikan Benjamin Cremaschi dan David Ruiz.
Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan satu sama.
Pemenang Ballon d’Or tujuh kali itu menjadi nama terbesar dalam sejarah MLS apabila dia menyertai Miami selepas kontraknya dengan Paris Saint-Germain berakhir pada Jun.
LeBron James, Kim Kardashian dan Serena Williams adalah antara bintang dalam 20,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan, dengan ramai peminat memakai replika baju merah jambu Miami dengan nama Messi dan nombor 10 di belakang.
Bintang NBA, LeBron James kini membintangi Los Angeles Lakers, dilihat memeluk Messi sebelum perlawanan.
Jurulatih Miami Gerardo Martino, yang melatih Messi bersama Barcelona dan bersama pasukan kebangsaan Argentina, berkata bintang itu mungkin belum bersedia untuk bermain sepenuhnya selepas hanya kembali menjalani latihan minggu ini selepas percutian keluarganya.
Bunga api turut dinyalakan apabila pengadil meniup wisel untuk memulakan perlawanan membuktikan keterujaan menyambut Messi dalam perlawanan pertamanya.
Pemilik bersama Miami, David Beckham telah menggesa peminat supaya bersabar dan tidak meletakkan tekanan terhadap Messi dan Busquets.
"Leo dan Sergio perlu masa untuk menyesuaikan diri," kata Beckham.-AFP
(Lionel Messi ketika tiba di stadium / REUTERS)
(Bintang NBA, LeBron James kelihatan berpelukan dengan
Lionel Messi sebelum perlawanan bermula / REUTERS)