(Menteri KBS, Hannah menyerahkan replika geran padanan sukan berjumlah
RM1 juta kepada Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi)
MELAKA, 22 Julai- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyediakan geran padanan sukan berjumlah sehingga RM1 juta kepada Persatuan Karate Malaysia (MAKAF) sempena penganjuran Kejohanan Karate Asia edisi ke-19 yang sedang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Melaka.
Menterinya, Hannah berkata geran tersebut untuk menggalakkan lebih banyak persatuan sukan di negara ini menganjurkan kejohanan bertaraf dunia bagi meningkatkan lagi prestasi atlet mereka.
Jelasnya usaha itu penting untuk menyediakan platform penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa bagi mengukur prestasi mereka di peringkat dunia.
"Seperti sesi 'townhall 'kita anjurkan dengan ramai atlet, mereka kata perlukan banyak lagi platform seperti ini untuk memperbaiki ranking (kedudukan)
dan mereka boleh mengukur prestasi mereka berbanding dengan negara lain. Itu sebab kita wujudkan geran padanan ini untuk bantu persatuan sukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pada Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, semalam.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan kejohanan itu yang diiringi Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
(Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat merasmikan Kejohanan Karate Asia edisi ke-19 di (MITC) Melaka, semalam)
Hadir sama Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad.
Terdahulu, Hannah mengumumkan pemberian dana geran padanan maksimum sebanyak RM1 juta kepada MAKAF berbentuk reimbursement (tuntutan bayaran balik) selepas penganjurannya.
Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan GPS sebanyak RM40 juta diperkenalkan kerajaan pada tahun ini bagi membantu atlet memperbaiki ranking mereka.
Dalam perkembangan yang sama, Datuk Nur Azmi menyatakan jumlah yang diluluskan secara maksimum itu sudah pastinya akan membantu badan induk tersebut membuat perancangan lebih rapi.
"RM1 juta itu pun dah terbaik daripada kita tak dapat apap-apa. Kita akan pastikan memanfaatkan peruntukan itu untuk pembangunan dan perbelanjaan dari segi kejohanan yang kita anjurkan," katanya.
Seramai 388 daripada 32 negara termasuk penyandang juara keseluruhan, Jepun, bersaing pada Kejohanan Karate Asia ke-19 itu yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam.