(Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh, Asliza Mohd Sapri)
IPOH , 21 Julai- Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Pasir Puteh, Asliza Mohd Sapri meraih emas Sukan Olimpik Khas Dunia di Berlin, Jerman pada 12 Jun lalu membanggakan negara.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Khairuddin Abu Hanipah berharap kejayaan itu dapat menjadi inspirasi kepada pelajar lain terutamanya pelajar berkeperluan khas.
Dalam kejohanan tersebut, anak kedua daripada lapan beradik itu memenangi emas acara lontar peluru division F01 dan tempat kelapan acara merejam lembing.
"Kejayaan 'kak ngah' atau pun Nur Asliza ni merupakan satu pengiktirafan cukup besar khususnya kepada warga pendidik dan juga warga negeri Perak.
"Walaupun ada masalah dari segi pelajaran, dia telah menonjolkan prestasi dan pencapaian cukup tinggi. Daripada empat peserta yang dipilih mewakili Malaysia hanya dia(Asliza) berjaya memperoleh pingat emas," kata Khairuddin selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar OKU pembelajaran itu di rumahnya di sini.
Beliau juga memaklumkan, kerajaan negeri akan membantu mendapatkan rumah untuk keluarga pelajar berkenaan kerana kediaman sedia ada tidak sesuai untuk diduduki.
Bagi Asliza, dia tidak menyangka dapat meraih kejayaan tersebut yang dicapai hasil dorongan tidak berbelah bahagi daripada guru dan keluarga.
"Perasaan saya gembira dapat emas. Berdebar pun ada. Semua cikgu bangga dengan saya sebab dapat emas," kata Asliza.
"Sebelum ni dia ikut peringkat bawah. Sebagai ibu saya beri perangsang sikit demi sikit lepas tu akhirnya dia dapat impian pergi sampai ke sana. Syukur alhamdulillah," luah ibunya, Asmah Ismail.
(Khairuddin berkata kejayaan Asliza raih emas Olimpik Khas kebanggaan negara)