(Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari(kiri) dan Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak (kanan))
ISKANDAR PUTERI, 21 Julai- Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan KL City FC bersedia menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor esok
Kedua-dua pasukan telah membuat persiapan secukupnya bagi merebut piala musim ini walaupun kelebihan sedikit berpihak kepada tuan rumah, JDT.
Ketua Jurulatih JDT, Esteban Solari yakin segala persiapan terutama melibatkan taktikal telah berjalan lancar, sebelum sepak mula esok.
Walaupun mempunyai rekod cemerlang dalam aksi liga musim ini termasuk membelasah KL City 6-1 Julai lalu, beliau tetap waspada dengan kejutan yang mampu dicipta anak buah Bojan Hodak.
"Ini bukan sebab risau tapi saya rasa ia lebih kepada mengetahui cara KL. Tapi macam saya cakap sebelum ini, ia merupakan sebahagian daripada strategi dan idea yang kami buat bukan bermula hari ni atau minggu ini, tetapi bermula daripada persiapan yang dilakukan.
"Kami berharap dapat menambah baik dan bersedia sebab KL ada pemain berkualiti terutama di barisan hadapan. Jadi kami hormat itu," kata Solari.
(JDT, KL City janji aksi terbaik perlawanan akhir Piala FA)
Sementara itu, Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak akui pasukannya bukan pilihan untuk menjulang Piala FA, terutama berdasarkan rekod cemerlang JDT musim ini.
Bagaimanapun beliau berharap para pemain dapat menampilkan aksi terbaik tanpa sebarang tekanan.
"Pasukan JDT tidak pernah kalah. Mereka tak pernah kehilangan mata dan mereka sentiasa mendahului. Mereka ada skuad yang kuat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
"Semua mengharpkan mereka menang jadi ia bukan tekanan untuk kami menyerah. Kami cuba bermain dengan baik dan diharapkan dapat keputusan yang positif," ujar Hodak.
Mengenai Giancalo Gallifuoco yang cedera sebelum ini, beliau memaklumkan pemain itu dijangka dapat beraksi esok.