LONDON, 17 Ogos - Lionel Messi menandakan kepulangannya selepas pulih daripada kecederaan dengan satu gol dan satu bantuan gol ketika Inter Miami menewaskan Los Angeles Galaxy 3-1, lapor Agensi Berita Jerman.
Penyerang Argentina itu sebelum ini diketepikan selama dua minggu selepas mengalami kecederaan otot ketika menentang Necaxa dalam saingan Piala Liga, namun kembali ke bangku simpanan dan memberikan sumbangan penting pada separuh masa kedua.
Telasco Segovia terlebih dahulu melihat jaringannya dibatalkan kerana ofsaid sebelum Jordi Alba membuka tirai jaringan buat Miami pada penghujung babak pertama.
Pemain pertahanan itu menyudahkan hantaran cantik bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Sergio Busquets, dengan rembatan rendah.
Messi dimasukkan sebagai pemain gantian pada awal babak kedua, namun pemain antarabangsa Ghana Joseph Paintsil menyamakan kedudukan buat Galaxy pada minit ke-59.
Pemain berusia 38 tahun itu mengembalikan kelebihan Miami enam minit sebelum tamat perlawanan apabila beliau melepasi kawalan dua pemain sebelum melepaskan rembatan rendah dari jarak 20 meter ke penjuru gawang.
Messi kemudian mencipta gol ketiga untuk Luis Suarez pada minit ke-89 apabila beliau menampan hantaran Rodrigo de Paul ke laluan penyerang Uruguay itu yang kemudian melepaskan rembatan rendah.
Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Inter Miami dalam perebutan ke pusingan "play-off" dengan skuad bimbingan Javier Mascherano berada di tangga keempat Persidangan Timur Major League Soccer (MLS). - BERNAMA