fb fb fb fb fb

PDRM berazam cipta rekod dengan mengekalkan kemenangan ragbi Piala Agong

Kelebihan kepada PDRM dalam mempertahankan rekod tanpa kalah /Foto arkib PDRM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Pasukan ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekali lagi mempertaruhkan khidmat pemain import dari Fiji sebagai resipi utama dalam misi memburu kejuaraan hatrik Piala Agong musim ini.

Setiausaha pasukan, Asisten Superintendan Mohamad Hafiz Ahamad memaklumkan tiga daripada pemain import itu sudah berada di tanah air.

“ Untuk tahun ini kami ambil empat pemain import Fiji, tiga daripada tonggak import itu sudah tiba di tanah air, manakala seorang lagi akan dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi melengkapkan persiapan pasukan", katanya.

Beliau menyatakan selepas sesi mesyuarat pengurus-pengurus kejohanan ragbi Piala Agong 2025 di Ibu negara.

Tambahnya, kehadiran tenaga import dijangka terus memberi kelebihan kepada PDRM dalam mempertahankan rekod tanpa kalah dua musim berturut-turut, meskipun sedar cabaran getir menanti daripada pasukan bertaraf bintang seperti Johor.

The Blues yang menamatkan penantian 31 tahun dengan muncul juara pada 2023, berazam untuk meneruskan dominasi dalam ragbi berprestij negara menjelang saingan berlangsung dari 6 September hingga 25 Oktober depan.

Selain memburu gelaran hatrik, PDRM turut berazam mencipta rekod istimewa dengan mengekalkan rekod kemenangan yang dicatat pada kempen 2023 dan 2024.

HASRON BIN HASSAN