fb fb fb fb fb

Latihan terakhir sebelum ke Jakarta bagi cabaran SEA Pekak 2025

Misi membawa pulang pingat emas / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 17 Ogos - Kontinjen negara kini memasuki fasa latihan terakhir sebelum berangkat ke Jakarta bagi menghadapi cabaran Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang bermula Khamis depan.

Kapten skuad badminton, Edmund Teo Seng Keong, mengingatkan rakan sepasukan agar mengekalkan fokus dan disiplin demi mencapai misi membawa pulang pingat emas.

“Sebagai ketua, saya berharap semua kekal berdisiplin terutama ketika latihan. Kita perlu berlatih dengan sebaik mungkin supaya mampu mencapai sasaran pingat,” katanya ketika sesi latihan di TT Sports Center di sini hari ini.

Menurut Edmund, tahap latihan ketika ini berada di tahap tertinggi sebagai persiapan akhir menjelang kejohanan.

“Program latihan berada di tahap optimum sebagai bekalan terakhir menjelang kejohanan, sekali gus memberi keyakinan kepada skuad untuk mencapai sasaran pingat emas,” tambahnya.

Sementara itu, beregu badminton wanita negara, Boon Wei Ying -Foo Zu Tung turut giat memperkemaskan aspek teknikal dan strategi permainan.

“Sekarang kami berlatih sepenuh masa. Banyak perbincangan taktikal dibuat bersama jurulatih untuk memastikan semua pemain dapat beri aksi terbaik di Indonesia nanti,” kata mereka.

Mereka turut menjangkakan saingan sengit daripada tuan rumah, Indonesia, selain Thailand serta beberapa pasukan lain.

“Kami tidak pasti tahap sebenar pasukan lain, tetapi apa yang penting, kami akan cuba berikan yang terbaik untuk memastikan Malaysia membawa pulang pingat,” katanya lagi.

Ketua kontinjen ke Sukan SEA Pekak 2025, Sarkunan Balakrisnan, menegaskan persiapan skuad berjalan lancar dengan disiplin serta motivasi pemain berada pada tahap terbaik.

Pada edisi 2022, skuad badminton pekak negara meraih emas menerusi acara beregu serta gangsa bagi perseorangan wanita.

HASRON BIN HASSAN