KRUBONG, 18 Ogos - Penang FC berjaya membenam Melaka FC 2-0 dalam aksi pusingan 16 Piala FA di Stadium Hang Jebat, Krubong malam tadi.
Kedua - dua gol diperoleh menerusi pemain import, Dylan Christopher Charles Wenzel Halls pada minit ke 48 dan 82.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol, dengan Melaka hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-18 menerusi percubaan Kharil Anwar Sharuddin.
Cubaan tersebut bagaimanapun berjaya ditepis penjaga gol Penang, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid.
Empat minit sebelum tamat babak pertama, jaringan Dylan dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil mendapati berlaku kekasaran.
Memasuki babak kedua, Dylan membuka jaringan pada minit ke-48, sekali gus memberi suntikan semangat buat skuad bimbingan Wan Rohaimi Wan Ismail untuk terus menguasai permainan.
Melaka bangkit menerusi percubaan Dabao Charles Ralph Alan, pada minit ke-61 namun tersasar, sebelum Dylan sekali lagi menambah jaringan buat Penang pada minit ke-82.
Kemenangan 2-0 itu memastikan Penang membawa bekalan selesa ke pusingan timbal balik, manakala Melaka terpaksa akur dengan kekalahan di laman sendiri.