fb fb fb fb fb

EPL: Arsenal menang tipis, Chelsea sekadar seri tanpa jaringan

Pemain pertahanan Arsenal, Martin Zubimendi (kanan) selepas tamat perlawanan menentang Manchester United pada Ahad / Foto REUTERS

LONDON, 18 Ogos - Arsenal memulakan misi memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris dengan langkah kanan selepas menewaskan Manchester United 1-0 di Old Trafford, awal pagi tadi, hasil jaringan tunggal Riccardo Calafiori.

Selepas tiga musim berturut-turut menamatkan saingan di tempat kedua, tekanan kini terarah kepada pengendali Arsenal, Mikel Arteta, untuk menghadiahkan trofi liga pertama sejak musim 2003/04.

Walaupun tidak menampilkan aksi meyakinkan, 'The Gunners' berjaya membawa pulang tiga mata penuh hasil kesilapan penjaga gol simpanan United, Altay Bayindir.

Penjaga gol Turki itu gagal menepis sepakan sudut Declan Rice, membolehkan Calafiori mudah menanduk masuk ke gawang terbuka pada minit ke-13.

Arteta menyifatkan kemenangan itu sebagai permulaan penting buat anak-anak buahnya.

“Keputusan besar. Perlawanan pertama musim ini di Old Trafford, ketika mereka juga sedang membina sesuatu,” katanya.

United menurunkan trio penyerang baharu bernilai 200 juta pound iaitu Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko.

Namun masih gagal melepasi benteng pertahanan kental Arsenal.

Penjaga gol Arsenal, David Raya turut cemerlang menafikan percubaan Cunha dan Mbeumo, manakala percubaan Patrick Dorgu hanya singgah di tiang gol.

Sementara itu, pengendali United, Ruben Amorim, tetap berpuas hati dengan semangat ditunjukkan pasukannya.

“Kami buktikan hari ini kami mampu menewaskan mana-mana pasukan. Kami layak keputusan berbeza, tapi perlu segera bangkit", ujar Amorim.

Dalam pada itu itu, Chelsea gagal memanfaatkan kelebihan selaku tuan rumah apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace.

Kelab juara dunia itu hampir dikejutkan lawan apabila sepakan percuma Eberechi Eze menewaskan Robert Sánchez, namun gol dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Marc Guehi menghalang benteng pertahanan Chelsea.

Pemain muda baharu, Estevao, hampir menghadiahkan gol kemenangan, tetapi serangan The Blues buntu menembusi pertahanan kental Palace yang dikemudi Guehi dan Eze, meskipun kedua-duanya dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool dan Tottenham.

“Kedua-duanya bukan sahaja pemain hebat, malah berperibadi baik. Selagi mereka komited, mereka akan terus bermain,” jelas pengendali Palace, Oliver Glasner.

Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca, pula menegaskan pasukannya masih kurang persiapan selepas kejayaan menjulang Piala Kelab Dunia di New York bulan lalu.

“Kami hanya sempat bermain dua aksi persahabatan, berbanding lapan perlawanan pasukan lain. Kami sudah jangka perlawanan sukar ini,” katanya.

Dalam satu lagi aksi, Nottingham Forest meraih kemenangan bergaya 3-1 ke atas Brentford hasil dua jaringan Chris Wood serta Dan Ndyoe.

Pengendali Forest, Nuno Espirito Santo, lega dengan prestasi anak buahnya.

“Separuh masa pertama sangat baik, kombinasi menjadi dan jaringan cantik. Inilah sebabnya kami perlukan skuad seimbang", jelasnya.

Brentford yang berwajah baharu berdepan musim mencabar selepas kehilangan pengurus Thomas Frank, ketua pasukan Christian Norgaard dan penyerang Mbeumo.

Gol tunggal Brentford pula diperoleh menerusi Igor Thiago hasil sepakan penalti. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD