fb fb fb fb fb

Piala Jerman: Dua jaringan Doan bantu Frankfurt mara

Pemain sayap Eintracht Frankfurt, Ritsu Doan berjaya membantu kelab berkenaan mara ke pusingan kedua Piala Jerman selepas menjaringkan dua gol menentang Engers/Foto REUTERS

FRANKFURT, 18 Ogos - Pemain sayap Jepun, Ritsu Doan, menyerlah pada penampilan sulung bersama Eintracht Frankfurt apabila meledak dua gol ketika membantu pasukannya menewaskan kelab divisyen lima, Engers 5-0 pada aksi pusingan pertama Piala Jerman, Ahad.

Doan, yang berhijrah dari Freiburg menjaringkan gol kedua Frankfurt pada masa kecederaan babak pertama sebelum menambah satu lagi pada minit ke-54 menerusi rembatan kaki kiri.

Tiga lagi jaringan Frankfurt disumbangkan Jean-Matteo Bahoya, Elye Wahi dan Paxten Aaronson, sekali gus memastikan bekas juara lima kali itu mara dengan bergaya.

Ketua pasukan serta penjaga gol utama, Kevin Trapp, tidak tersenarai dalam perlawanan selepas kelab mengesahkan beliau sedang berbincang dengan pasukan lain.

Media Jerman melaporkan Trapp dijangka berpindah ke kelab Ligue 1 yang baru dinaikkan, Paris FC.

Dalam aksi lain, kelab Bundesliga Borussia Moenchengladbach, Cologne dan Augsburg turut melangkah ke pusingan seterusnya.

Juara dua kali, Kaiserslautern pula membelasah RSV Eintracht 7-0, manakala Schalke yang kini beraksi di divisyen dua menewaskan Lokomotiv Leipzig 1-0 di tempat lawan. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD