SPIELBERG, 18 Ogos – Juara enam kali dunia, Marc Marquez, meraikan perlumbaan ke-1,000 MotoGP dengan penuh bergaya apabila muncul juara Grand Prix Austria buat kali pertama dalam kariernya.
Kemenangan itu sekali gus melebarkan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan dunia dengan 142 mata di depan adiknya, Alex.
Pelumba Factory Ducati itu yang turut menang perlumbaan pecut pada Sabtu, mencatat ‘double’ buat kali keenam berturut-turut sejak GP Britain, Mei lalu.
Ia juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut Grand Prix buat Marquez,yang kali terakhir dilakukannya pada 2014.
Pendatang baharu, Fermin Aldeguer pula melakar keputusan terbaik dengan menamatkan saingan di tempat kedua, manakala pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi, yang bermula dari petak utama, sekadar berpuas hati di tangga ketiga.
Bagnaia yang sebelum ini menguasai litar Red Bull tiga musim berturut-turut, gagal mempertahankan rekodnya jatuh ke kedudukan kelapan selepas bergelut dengan jentera Ducati.
Sementara itu, Alex Marquez hanya menamatkan saingan di tangga ke-10 selepas dikenakan penalti susulan insiden kemalangan di GP Czech.
Dalam pada itu, saingan kelas Moto2 menyaksikan pelumba Italtrans Racing, Diogo Moreira, tampil dominan untuk menamatkan kemarau kemenangan dengan mudah mengatasi pendatang baharu Daniel Holgado yang meraih podium pertama.
Bagi saingan Moto3 pula, Angel Paqueras muncul juara kali ketiga musim ini selepas menguasai pusingan terakhir yang sengit. - REUTERS