fb fb fb fb fb

Ligue 1: PSG buka kempen dengan kemenangan tipis

Pemain tengah PSG, Vitinha (tengah) diraikan rakan sepasukan Nuno Mendes (kiri) dan Desire Doue selepas menjaringkan gol kemenangan PSG ketika menewaskan Nantes 1-0 dalam aksi Ligue 1 di Stade de la Beaujoire. / Foto AFP

NANTES, 18 Ogos – Juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG) memulakan misi mempertahankan kejuaraan Ligue 1 dengan langkah kanan apabila menewaskan Nantes 1-0 hasil jaringan Vitinha di Stade de la Beaujoire, awal pagi tadi.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-67 apabila rembatan pemain tengah Portugal itu terkena pertahanan Nantes, Chidozie Awaziem, sebelum melatun masuk menewaskan penjaga gol Anthony Lopes.

Pada perlawanan itu, Pengurus PSG, Luis Enrique membuat tujuh pertukaran berbanding kesebelasan ketika menjuarai Piala Super Eropah menentang Tottenham minggu lepas.

Pertukaran yang dilakukan oleh Enrique tidak sedikit pun menjejaskan rentak permainan PSG.

Sebaliknya, kelabg gergasi Perancis itu tetap menguasai permainan meskipun belum mencapai tahap terbaik selepas melalui jadual padat musim lalu.

“Objektif utama adalah kemenangan dan saya rasa kami layak mendapat tiga mata.

"Kami masih perlukan masa untuk capai keserasian penuh, tetapi saya gembira dengan prestasi pasukan,” kata Enrique.

Pertahanan baharu, Illia Zabarnyi, tampil 90 minit penuh selepas berhijrah dari Bournemouth dengan yuran perpindahan €66 juta, manakala Lucas Chevalier yang direkrut dari Lille diberi kepercayaan mengisi posisi utama penjaga gol menggantikan Gianluigi Donnarumma.

Sementara itu beberapa pemain bintang seperti Ousmane Dembele, Achraf Hakimi, Nuno Mendes dan Khvicha Kvaratskhelia direhatkan dan berada di bangku simpanan.

PSG akan melayan kunjungan Angers di Parc des Princes pada aksi seterusnya, Jumaat ini. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD