fb fb fb fb fb

PSBNK singkir dua ahli jawatankuasa tertinggi


KOTA BHARU, 24 Januari - Dua ahli jawatankuasa tertinggi Persatuan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) disingkirkan daripada badan induk itu selepas didapati melanggar beberapa peruntukan perlembagaan PSBNK.

Presidennya, Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata tindakan terhadap Setiausaha Agung dan Timbalan Presiden persatuan masing-masing berumur 57 dan 58 tahun itu berkuat kuasa serta merta selepas didapati menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan.

"Menerusi beberapa aduan rasmi yang diterima dan selepas dimajukan kepada jawatankuasa terbabit, Setiausaha dan Timbalan Presiden didakwa terlibat dalam beberapa siri kesalahan yang jelas melanggar aturan di bawah perlembagaan.

"Malah, tindakan dilakukan kedua-duanya mampu mencemarkan nama baik dan memusnahkan reputasi persatuan kepada tanggapan umum," jelasnya dalam sidang media di Pejabat Belia dan Sukan di Panji, di sini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PSBNK, Muhammad Farhan Hamdan berkata kedua-dua ahli tersebut didapati gagal menjawab dakwaan yang dikemukakan serta tidak mempunyai sebarang usaha untuk menjawab melalui surat tunjuk sebab yang dikeluarkan jawatankuasa berkenaan.

Selepas merujuk kepada segala autoriti dan mengambil kira merit serta situasi sedia ada, jawatankuasa tatatertib meneruskan penetapan hukuman pembatan keahlian kedua-duanya serta dilarang mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti yang berkaitan dengan sukan boksing di negeri itu serta merta.

"Keputusan hukuman yang telah ditetapkan ini adalah juga bagi memberi ruang kepada pihak-pihak berkenaan untuk mengemukakan rayuan selaras dalam perlembagaan dalam tempoh berkuatkuasa serta merta daripada hari ini," jelas Muhammad Farhan.

Kemelut dalaman Persatuan Boksing Negeri Kelantan (PSBNK) terbongkar selepas Setiausaha Agung yang juga Pengerusi Persatuan Sukan Boksing Daerah Machang itu didakwa gagal memastikan ahlinya membayar yuran keahlian serta terlibat dalam satu konspirasi bersama ahli Persatuan Sukan Boksing Parlimen Rantau Panjang dengan menyalahgunakan kuasa secara tidak sah di dalam pemilihan yang diadakan di AGM2021 sehingga menimbulkan kekecohan sekali gus mesyuarat terpaksa ditangguhkan.

Timbalan Presiden juga didakwa mempunyai motif yang sama apabila terlibat dalam konspirasi bersama ahli Persatuan Sukan Boksing Daerah Bachok untuk merosakkan nama baik PSBNK.

Di bawah Fasal 12 Perlembagaan PSBNK juga, kedua-dua persatuan berkenaan digantung keahlian sebagai ahli gabungan PSBNK untuk tempoh empat tahun dan dilarang mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti berkaitan dengan sukan boksing di Kelantan serta merta.

Untuk rekod, seramai 6,000 ahli PSBNK berdaftar di seluruh Kelantan.

Media Baharu