fb fb fb fb fb

Prestasi pemain muda tenis negara meningkat, persiapan Sukan SEA Games di landasan tepat

Jurulatih skuad tenis negara, Adam Jaya

KUALA LUMPUR, 24 November - Jurulatih skuad tenis negara, Adam Jaya, menyifatkan prestasi pemain muda berada pada landasan positif menjelang Sukan SEA Thailand 2025 selepas beberapa pemain menunjukkan peningkatan ketara di pentas antarabangsa.

Menurutnya, kemenangan terkini dalam acara perseorangan dan beregu dalam tempoh dua minggu lalu menjadi petanda baik kepada persediaan skuad negara.

“Dania juga berada dalam skuad Sukan SEA. Melihat prestasinya di Kemboja, saya jangka ranking 'junior'nya berada sekitar 500 hingga 700 mata. Untuk tempoh dua minggu ini, dia menang dua acara perseorangan dan satu acara beregu, satu perkembangan yang sangat positif.

"Tahun depan, dia perlu mula beraksi di kejohanan lebih besar, di mana dia mesti mencatat kemenangan dan memperbaiki ranking dunia. Selepas Sukan SEA atau ketika musim rehat nanti, saya yakin pasukan dan jurulatihnya sudah tahu apa yang perlu diberi tumpuan, termasuk menetapkan sasaran serta perancangan yang jelas untuk tahun depan," katanya.

Adam berkata, latihan pusat yang bermula minggu ini akan menilai kombinasi terbaik pemain, termasuk bagi pemain yang bakal membuat penampilan sulung nanti.

“Sebahagian pemain, termasuk yang beraksi hampir setiap minggu, kami mahu mereka kumpul sebanyak mungkin pengalaman di Bangkok. Ini penting supaya apabila kita beraksi di laman sendiri pada 2027 nanti, rasa dan tekanan bermain di Sukan SEA sudah mereka lalui. Ketika itu, fokus bukan lagi isu mental, tetapi lebih kepada taktikal dan kecergasan.

"Saya akan cuba sebaik mungkin memastikan semua pemain mendapat minit permainan, namun ia tetap bergantung kepada minggu pertama atau minggu kedua Disember siapa yang benar-benar bersedia bermain, mampu beraksi cemerlang dan berada pada prestasi kemuncak pada waktu yang tepat.” Jelasnya.

Dalam skuad wanita, empat pemain antaranya Shihomi Leong Li Xuan, Syarifah Elsa Wan Rahman dan Lim Zan Ning berada dalam senarai awal untuk acara berpasukan, manakala lima pemain boleh diturunkan mengikut keperluan strategi pertandingan.

Bagi kategori lelaki, beliau berkata pemilihan dua pemain perseorangan dan dua beregu akan dimuktamadkan berdasarkan prestasi sepanjang kem latihan.

Beliau menegaskan pendedahan pertandingan berterusan amat penting bagi memastikan pemain Malaysia lebih matang dari segi taktikal menjelang Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung di tanah air.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE