KUALA LUMPUR, 24 November – Syarikat minyak dan gas negara, Petronas, menafikan dakwaan mengenai penglibatannya sebagai penaja utama Liga Bola Sepak Bangladesh.
Dalam kenyataan rasmi, Petronas menegaskan syarikat itu tidak pernah memeterai sebarang perjanjian penajaan untuk liga berkenaan.
“Petronas juga tidak membenarkan penggunaan nama atau jenama kami berkaitan dengan liga tersebut. Kami memandang serius terhadap integriti jenama kami dan kekal fokus untuk memberikan nilai kepada pihak berkepentingan serta komuniti di tempat kami beroperasi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan ekoran tular dakwaan di media sosial dan beberapa portal sukan sejak semalam mengenai penajaan Petronas terhadap liga berkenaan.