fb fb fb fb fb

Messi bawa Miami mara ke peringkat akhir, benam Cincinnati 4-0

Lionel Messi/Foto AFP

MIAMI, 24 November – Lionel Messi terus cemerlang apabila menjaringkan satu gol dan memberikan tiga bantuan jaringan bagi membantu Inter Miami menewaskan FC Cincinnati 4-0 dalam Perlawanan Separuh Akhir Persidangan Timur, Liga Perdana Bola Sepak (MLS), pada Ahad.

Tadeo Allende meledak dua gol pada separuh masa kedua manakala Mateo Silvetti, 19, turut menyumbang satu gol dan satu bantuan jaringan.

Kemenangan tersebut membawa Miami mara ke peringkat akhir Timur buat kali pertama dalam sejarah Piala MLS Playoffs dan akan berdepan pemenang separuh akhir lain antara Philadelphia dan New York City FC.

2411 SKN LNR MESSI MIAMI 2Foto AFP

Cincinnati tersingkir di laman sendiri buat kali ketiga berturut-turut dalam saingan pascamusim. Kemenangan 4-0 kedua berturut-turut Miami hadir walaupun pengurus Javier Mascherano memilih untuk tidak menurunkan Luis Suarez dalam kesebelasan utama.

Messi kini mengumpul enam gol dan enam bantuan jaringan dalam pascamusim, selepas menutup musim biasa dengan 29 gol dan 19 bantuan jaringan, yang berpotensi menghadiahkannya anugerah MLS MVP buat tahun kedua berturut-turut.

Dalam perlawanan itu, Messi membuka jaringan pada minit ke-19 selepas Jordi Alba memintas hantaran Cincinnati.

Silvetti menggandakan kedudukan pada minit ke-57 hasil lorongan Messi, manakala Allende menambah dua gol pada minit ke-62 dan 74, kedua-duanya hasil serangan balas yang dimulakan Messi. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN