fb fb fb fb fb

Yilamaran puas hati rangkul perak kumite Deaflympics 2025

FOTO MSdeaf

TOKYO, 24 November - Atlet karate pekak negara, V. Yilamaran sekadar berpuas hati dengan pingat perak selepas tumpas 4-1 kepada pencabar utamanya dari Ukraine, Makhno Oleksandr, dalam aksi akhir kumite bawah 84 kilogram di Tokyo Budokan pada Deaflympics 2025.

Oleksandr sekali lagi menjadi penghalang Yilamaran, sama seperti edisi di Brazil, namun Yilamaran tetap melihat peningkatan pada prestasinya.

“Saya dah buat yang terbaik, cari ruang serangan sehabis mungkin. Cuma kali ini tidak memihak pada saya. Tapi strategi memang ada peningkatan,” katanya.

Yilamaran mengakui kepantasan lawannya menjadi faktor utama perbezaan hasil.

“Dia terlalu laju. Susah nak cari ruang. Saya pula rabun dan bergantung pada kanta sentuh. Apa pun, saya bangga dapat kekalkan perak untuk Malaysia,” katanya lagi.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara terkandas di peringkat suku akhir; Muhammad Danial Moharam (Bawah 75kg) tewas 8-4 kepada atlet Algeria, Tabchache Bilal pada suku akhir.

Manakala, Muhammad Iqbal Mohd Taib pula akur 2-3 kepada Tai Wen Chi dari Taiwan dalam kategori Bawah 67kg.

Abang Iqbal, Muhammad Afiq dalam kategori bawah 60kg pula gagal melangkah ke podium selepas ditumpaskan wakil Iran, Sadeghzadehmoghadam Milad 8-0 pada aksi penentuan pingat gangsa.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE