SUBANG JAYA, 7 Oktober - Penyertaan berganda pasukan boling negara dalam dua kejohanan utama iaitu Kejohanan Dunia di Hong Kong dan Sukan SEA 2025 di Thailand tidak akan menjejaskan prestasi mereka.
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Nurul Huda Abdullah, memaklumkan bahawa semua atlet yang terlibat berada dalam prestasi terbaik dan menjalani persiapan dengan rapi.
"Secara keseluruhannya, seluruh pasukan berasa teruja dan bersemangat untuk menyertai Sukan SEA kali ini. Pada edisi Sukan SEA 2023 yang lalu, acara boling tidak dipertandingkan, namun kali ini mereka hadir dengan penuh semangat bagi menunjukkan bahawa Malaysia mampu mendominasi dalam sukan boling, lebih-lebih lagi menjelang edisi 2027 di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah.
"Cabaran bagi pasukan boling adalah mereka akan menyertai Kejohanan Dunia di Hong Kong terlebih dahulu sebelum ke Sukan SEA. Namun, saya diberi jaminan oleh pasukan bahawa perkara itu tidak menimbulkan sebarang masalah. Mereka berada dalam keadaan yang cergas, sihat dan benar-benar bersedia untuk kedua-dua kejohanan," katanya selepas lawatan ke Venue Latihan Tenpin Boling di sini, hari ini.
Tambahnya, semua atlet, termasuk mereka yang tidak berada dalam program kebangsaan sepenuh masa, akan menjalani pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh bagi memastikan hanya atlet yang cergas dan bersedia akan beraksi di temasya tersebut.
"Ini bermakna kesejahteraan dan kebajikan semua atlet akan menjadi keutamaan kami. Semua atlet yang disahkan sebagai kontinjen kebangsaan akan diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan, termasuk mereka yang tidak berada dalam program kebangsaan ketika ini.
"Bagi atlet yang mengalami kecederaan atau dalam proses pemulihan, mereka juga perlu mendapatkan sijil kecergasan sebelum dibenarkan bertanding.
"Kami tidak mahu membawa mana-mana atlet yang masih mengalami kecederaan ke temasya ini. Kami mahu pasukan yang benar-benar cergas dan sihat bagi memastikan mereka dapat menyumbang pingat untuk Malaysia," katanya lagi.
Seramai empat pemain iaitu Rafiq Ismail, Mohd Syazirol Shamsudin, Tun Hakim, dan Tsen Fan Yew akan mewakili skuad lelaki boling negara, manakala Sin Li Jane, Natasha Roslan, Nur Hazirah Ramli, dan Adania Mohd Redzwan akan mewakili skuad wanita boling negara ke Sukan SEA nanti.
Bagi pemilihan atlet acara-acara lain ke temasya berkenaan beliau berkata proses pemilihan masih dalam peringkat akhir, di mana persatuan masing-masing sedang menilai prestasi semasa atlet untuk menentukan barisan terbaik.