SANDAKAN, 7 Oktober - Karnival Ragbi 7 sebelah Sabah peringkat sekolah (KARA7s) kembali dengan rekod penyertaan tertinggi pada edisi kali ini.
Menurut Pengarah Kejohanan KARA7s Ghouse Raqib, sebanyak 74 pasukan dari seluruh negara telah mengesahkan akan bertanding dalam kejohanan yang bakal berlangsung pada 17 hingga 19 Oktober, bertempat di Kelab Ragbi Eagles, Sandakan.
"Ia angka tertinggi dalam sejarah kejohanan sejak mula dianjurkan pada tahun 2022. Kami yakin pada hari kejohanan nanti padang ragbi Kelab Ragbi Eagles akan menjadi tumpuan pelajar, ibu bapa dan peminat ragbi keseluruhannya kerana tahun ini KARA7s akan tampil lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini," ujarnya.
Aksi pemain ragbi kategori lelaki
Tambahnya, KARA7s diyakini mampu mencipta impak besar bukan sahaja di Sabah malah di peringkat kebangsaan dengan penyertaan yang lebih menyeluruh, termasuk dari sekolah-sekolah luar bandar serta kawasan pedalaman.
Kejohanan anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan Tinusa itu terus mengekalkan komitmen bagi mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi selain merapatkan jurang sosial melalui sukan ragbi.
Aksi kategori perempuan bawah 16 tahun
Sebanyak 7 kategori akan dipertandingkan melibatkan pasukan lelaki dan perempuan bagi kategori di bawah umur 16 tahun, 14 tahun dan 12 tahun bagi sekolah rendah dan menengah.