fb fb fb fb fb

Aspek perubatan, keselamatan pemain akan diperketat - KRM

Foto Malaysia Ragbi

KUALA LUMPUR, 7 Oktober - Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) akan memperketat aspek keselamatan dan perubatan dalam setiap kejohanan di seluruh negara susulan kejadian tragis melibatkan seorang pelajar.

Tragedi itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan komuniti sukan ragbi mengenai tahap kesiapsiagaan perubatan di kejohanan yang melibatkan remaja dan pelajar sekolah.

Setiausaha Agung KRM, Fahmy Jalil, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengadakan sesi pascanilai (post-mortem) bersama Lembaga Perubatan dan Kebajikan Pemain Malaysia Ragbi, bagi menilai semula protokol keselamatan sedia ada.

Tegasnya, langkah segera akan diambil untuk mewajibkan setiap penganjur kejohanan menyediakan doktor perlawanan (Match Day Doctor, MDD) yang memiliki sijil pengiktirafan profesional seperti ICR Level 2, bukan sekadar pegawai perubatan biasa.

“Kecederaan yang dialami pemain-pemian ragbi berbeza dengan atlet dalam sukan lain. Jadi pagawai perubatan yang diperlukan perlu memiliki kelayakan tertentu untuk mengendalikan kes kecederaan pemain," katanya.

Tambahnya, langkah itu akan dikuatkuasakan serta-merta, meliputi kejohanan di semua peringkat sekolah, negeri dan kebangsaan.

KRM juga menyeru semua penganjur dan jurulatih agar lebih peka terhadap aspek kebajikan pemain serta mematuhi garis panduan keselamatan baharu yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Minggu lalu pelajar berusia 17 tahun dari sebuah sekolah berasrama penuh dilaporkan
rebah ketika beraksi pada Kejohanan Ragbi 'SBP Seven 2025' di Ipoh, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital berhampiran.

<<>>

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN