fb fb fb fb fb

Pos Malaysia sokong HSN 2025, angkat gaya hidup aktif

Hari Sukan Negara edisi lalu disambut penuh meriah

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menegaskan komitmen menyokong gaya hidup sihat rakyat Malaysia melalui penglibatan aktif dalam penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2025 peringkat kebangsaan.

Acara kemuncak HSN 2025 bertemakan Malaysia Aktif akan berlangsung pada 11 Oktober ini di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh bakal disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Penganjuran di Ipoh dijangka menarik lebih 300,000 penyertaan warga Perak dengan keseluruhan 5.2 juta peserta di seluruh negara.

Pelbagai aktiviti sukan percuma ditawarkan termasuk berbasikal, larian, berjalan, street soccer, memanah, gusti lengan, frisbee, lompat tali dan cup stacking.

Empat acara utama turut disediakan iaitu Kayuhan MADANI (35km), Larian Ria MADANI (5km), Berjalan Ria MADANI (3.5km) serta program 1,500 langkah sempena Hari Berjalan Sedunia.

Selain itu, pelancaran HSN 2025 di Pulau Pinang akan disempurnakan EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen.

Pos Malaysia selaku Rakan Strategik Logistik Rasmi menyokong penganjuran dengan menyediakan 15,000 helai baju larian di Ipoh dan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer menerusi satu kenyataan memaklumkan, penglibatan syarikat itu mencerminkan peranan bukan sahaja dalam bidang logistik, malah sebagai pemangkin pembangunan komuniti dan promosi gaya hidup sihat.

“Pos Malaysia berbangga dapat memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan barangan logistik, pengagihan baju larian serta aktiviti penjenamaan bersama Kementerian Belia dan Sukan.

“Hari Sukan Negara merupakan platform penting dalam membina masyarakat yang sihat, bersatu padu dan bersemangat. Kami berbesar hati dapat menyumbang secara bermakna sejajar dengan aspirasi negara ke arah kesejahteraan rakyat,” katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE