UNITED KINGDOM, 3 Oktober – Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan hanya keputusan positif di atas padang mampu menutup mulut pengkritik menjelang aksi Liga Perdana Inggeris menentang Sunderland, Sabtu ini di mana ia merupakan perlawanan yang boleh menentukan masa depannya di Old Trafford.
Amorim, yang dilantik pada November lalu, hanya mengutip 34 mata daripada 33 perlawanan liga. United kini di tangga ke-14 selepas enam perlawanan, meskipun sudah berbelanja lebih £200 juta untuk memperkuatkan pasukan.
Kegagalan menewaskan Sunderland, pendatang baharu yang berada di kedudukan kelima, boleh menjadi titik noktah buat pengendali berusia 40 tahun itu, lebih-lebih lagi menjelang rehat antarabangsa selama dua minggu.
“Kamu tidak boleh lari daripada keputusan (positif), tambahan pula ada beban daripada musim lalu. Tetapi bagi saya, musim lalu tidak penting,” katanya pada sidang media pra perlawanan pada Jumaat.
Formasi kegemaran Amorim, 3-4-3, turut dipertikaikan penganalisis termasuk bekas kapten United, Gary Neville dan penjaring terbanyak kelab, Wayne Rooney.
“Sekarang bukan masa untuk berkata-kata, tetapi masa untuk membuktikan. Ada perlawanan yang kami tunjukkan kualiti sebenar, namun ada juga yang kami gagal dalam beberapa aspek. Tugas saya hanyalah menyediakan pasukan dan mara ke perlawanan seterusnya,” tegas beliau. -AFP