MADRID, 3 Oktober - Pengurus Real Madrid, Xabi Alonso memilih pendekatan diplomatik apabila enggan melayan spekulasi mengenai keputusan beliau meletakkan Federico Valverde di bangku simpanan ketika kemenangan 5-0 ke atas Kairat Almaty dalam saingan Liga Juara-Juara, Selasa lalu.
Dalam sidang media singkat menjelang pertemuan menentang Villarreal yang kini di tangga ketiga La Liga pada Sabtu, Alonso bertegas isu tersebut tidak perlu diperbesarkan.
Valverde sebelum ini menafikan khabar angin kononnya berlaku perselisihan dengan Alonso selepas timbul dakwaan beliau enggan bermain di posisi bek kanan.
Pemain tengah Uruguay itu menegaskan di media sosial bahawa beliau sentiasa memberikan 'segalanya dan lebih' untuk kelab, meski pun pernah beraksi dalam keadaan berdepan kecederaan.
“Dia bersedia untuk esok, sama seperti semua pemain lain. Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan mahu menutup siri perlawanan sebelum rehat antarabangsa dengan kemenangan,” kata Alonso.
Jurulatih berusia 42 tahun itu turut mengulas keputusan Thomas Tuchel yang tidak menyenaraikan Jude Bellingham dalam skuad England bulan ini, sambil menegaskan pemain tengah berusia 22 tahun itu semakin hampir mencapai prestasi terbaik selepas menjalani pembedahan bahu.
“Bellingham sedang pulih ke tahap terbaiknya. Saya yakin dia akan kembali ke pentas antarabangsa tidak lama lagi,” jelasnya.
Perlawanan menentang Villarreal akan menjadi ujian penting buat Real Madrid selepas dimalukan seteru setempat, Atletico Madrid dengan kekalahan 2-5 pada perlawanan derby ibu kota Sepanyol minggu lalu. -REUTERS