MADRID, 3 Oktober – Jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente menegaskan tiada konflik dengan Hansi Flick selepas pengendali Barcelona itu mengkritik cara pasukan kebangsaan menguruskan pemain muda, Lamine Yamal, bulan lalu.
Pemain sayap berusia 18 tahun itu kembali membuat penampilan pertama bersama Barcelona sejak Ogos lalu ketika tewas 1-2 kepada Paris Saint-Germain pada Rabu.
Ia selepas Yamal pulih daripada kecederaan pangkal paha yang didakwa Flick bertambah buruk akibat beraksi dalam kelayakan Piala Dunia pada September lalu.
“Tiada sebarang konflik dengan Flick. Saya hanya terkejut dengan kenyataannya kerana beliau sendiri pernah menjadi jurulatih pasukan kebangsaan dan saya fikir beliau ada empati,” kata De la Fuente selepas mengumumkan skuadnya bagi aksi menentang Georgia dan Bulgaria.
“Kami sedang berjuang merebut tiket Piala Dunia. Itu yang penting. Perkara lain bukan keutamaan. Semua sudah memberi penjelasan dan isu ini selesai.” tegas beliau.
Flick sebelum ini berkata beliau pernah berhubung dengan De la Fuente melalui mesej ringkas, namun menegaskan komunikasi mengenainya boleh dipertingkatkan.
De la Fuente pula menjelaskan situasi sebenar bagi menutup kontroversi tersebut.
“Apa yang berlaku ialah selepas perlawanan dia mengalami sedikit ketidakselesaan. Tetapi saya sendiri pernah bermain dalam keadaan begitu. Tiada apa-apa yang serius,” ujarnya.
Sepanyol bakal turun tanpa Nico Williams dan Dani Carvajal, manakala Alvaro Morata diketepikan susulan prestasi hambar bersama Como.
Williams belum beraksi sejak mengalami kecederaan pangkal paha ketika menewaskan Turki 6-0. Kelabnya turut meminta masa permainan pemain itu diuruskan kerana masih berasa tidak selesa.
“Risiko dalam bola sepak sentiasa ada. Jika dia bermain untuk kelab, bermakna dia juga mengambil risiko yang sama. Ini situasi biasa,” jelas De la Fuente.
Sepanyol kini menerajui Kumpulan E dengan enam mata selepas dua perlawanan dan akan menentang Georgia di Elche pada 11 Oktober ini sebelum melayan kunjungan Bulgaria di Valladolid tiga hari kemudian. -AFP