PARIS, 3 Oktober – Aston Villa meraih kemenangan 2-0 ke atas Feyenoord dalam saingan Liga Europa pada Khamis, manakala Nottingham Forest, Rangers dan Celtic kecundang.
Di Rotterdam, Emi Buendia meledak gol pembukaan dari jarak 20 ela sebelum John McGinn menggandakan jaringan, sekali gus mengembalikan memori kejayaan Piala Eropah 1982 di venue sama.
Villa yang gagal menang dalam enam perlawanan awal musim, kini mencatat tiga kemenangan berturut-turut di bawah kendalian Unai Emery serta termasuk dalam tujuh pasukan yang mengutip enam mata maksimum.
Penjaga gol Marco Bizot yang menggantikan Emiliano Martinez pada saat akhir tampil cemerlang dengan beberapa aksi menyelamat penting.
“Awal musim agak sukar tetapi kami tidak pernah hilang keyakinan. Semangat itu masih ada dan kini kami harap dapat mengekalkannya,” katanya kepada TNT Sports.
Sementara itu, Forest dikecewakan pertahanan longgar ketika tewas 3-2 di laman sendiri kepada Midtjylland. Gol lewat Valdemar Andreasen memuktamadkan kemenangan wakil Denmark, meskipun Chris Wood menjaringkan gol penalti pada masa kecederaan.
“Amat mengecewakan, terutamanya cara kami melepaskan gol mudah di babak pertama,” kata pengurus Ange Postecoglou yang masih mencari kemenangan pertama.
Rangers pula terus bergelut apabila tumpas 2-1 di tangan Sturm Graz di Austria. Tomi Horvat dan Otar Kiteishvili meletakkan tuan rumah selesa di hadapan sebelum Djeidi Gassama merapatkan kedudukan. Namun kekalahan itu bermakna Rangers masih tanpa sebarang mata di peringkat Eropah.
“Masalah utama ialah mentaliti,” kata pengurus Russell Martin yang turut berdepan tekanan di liga domestik dengan pasukan berada di tangga kelapan.
Nasib sama menimpa Celtic yang tunduk 0-2 di Parkhead kepada Braga. Gol Ricardo Horta dan jaringan lewat Gabri Martinez menamatkan cabaran wakil Scotland itu, manakala gol penyamaan Kelechi Iheanacho dibatalkan selepas semakan VAR.
“Kami terlalu banyak perlawanan tanpa jaringan. Tanggungjawab saya mencari penyelesaian,” ujar Brendan Rodgers.
Dalam aksi lain, Porto, Lyon dan Lille mengekalkan rekod sempurna, manakala Basel serta Fenerbahce bangkit daripada kekalahan pertama. Real Betis, naib juara Liga Konferens Eropah musim lalu, turut menang 2-0 ke atas Ludogorets di gelanggang lawan. -AFP