(Mauricio Pochettino/AFP)
LONDON, 29 Mei- Mauricio Pochettino kembali ke Liga Perdana Inggeris dan berhadapan tugas sukar mengatur kebangkitan Chelsea selepas The Blues mengalami kejatuhan drastik pada musim pertama bawah pemilikan baharu konsortium Todd Boehly.
Bekas Pengurus Paris Saint-Germain itu akan mengambil alih sebuah kelab yang menduduki tempat ke-12 dalam Liga Perdana walaupun telah mengeluarkan perbelanjaan besar melebihi £550 juta (US$678 juta).
Pochettino mencipta nama setelah memanfaatkan sumber kewangan yang tidak seberapa di Espanyol, Southampton dan semasa berkhidmat selama lima tahun di Tottenham Hotspur.
Lapan belas bulan di PSG, pengurus berusia 51 tahun itu berjaya membimbing kelab kendaliannya menjuarai Ligue 1 dan Piala Perancis.
Dia bagaimanapun meninggalkan PSG pada Julai 2022 kerana tidak selesa dengan ego skuad yang sarat dengan pemain berstatus bintang.
Kemahiran pengurusan manusia Pochettino akan diuji di Stamford Bridge setelah tiga pengurus gagal bawah rejim baharu.
Thomas Tuchel, yang membawa Chelsea menjulang trofi Liga Juara Eropah pada 2021, dipecat oleh Boehly dan Behdad Eghbali - pemilik bersama firma ekuiti persendirian Clearlake Capital- hanya selepas tujuh perlawanan musim ini.
Pada masa itu Chelsea menduduki tempat keenam Liga Perdana.
Graham Potter kemudiannya bertahan kurang tujuh bulan di Stamford Bridge, walaupun Chelsea membayar lebih daripada £20 juta untuk mendapatkan khidmatnya dari Brighton.
Selepas Potter, bekas pemain hebat Chelsea, Frank Lampard kembali ke Chelsea sebagai pengurus sementara hanya menerima enam kekalahan berturut-turut dalam enam perlawanan pertamanya.
Chelsea mengumumkan pelntikan Pochettino sebagai pengurus baharu hari ini.
Dia bersetuju menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan untuk tambahan setahun lagi. -AFP
(Mauricio Pochettino memberi arahan kepada pemain pasukannya semasa sesi latihan di
padang latihan kelab Camp des Loges di Saint-Germain-en-Laye/Fail AFP)