fb fb fb fb fb

PM Sepanyol desak Israel, Rusia diharamkan sertai sukan antarabangsa

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez / REUTERS

MADRID, 15 September - Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, menggesa Israel dan Rusia diharamkan daripada menyertai pertandingan sukan antarabangsa selagi tindakan yang disifatkan sebagai "barbarik" di Ukraine dan Gaza belum berakhir.

Sanchez turut mengecam tunjuk perasaan pro-Palestin di Madrid, semalam, yang menggugat perlumbaan berbasikal Vuelta a España sehingga memaksa penganjur membatalkan peringkat terakhir serta upacara podium.

Dalam sidang media berasingan, Pengurus Besar Vuelta, Javier Guillen, menyifatkan kekecohan itu sebagai tidak boleh diterima, namun mempertahankan pendirian neutral penganjur terhadap isu kontroversi tersebut.

Beliau berkata, penganjur telah berusaha memberi ruang kepada demonstrasi aman membantah penyertaan pasukan Israel-Premier Tech sepanjang tiga minggu perlumbaan, namun faktor keselamatan pelumba akhirnya memaksa mereka membuat keputusan drastik.

Protes yang tercetus akibat tindakan Israel di Gaza itu menyaksikan penunjuk perasaan melaungkan slogan “mereka tidak akan lepas” sambil merempuh penghadang besi dan menguasai laluan perlumbaan.

Kerajaan Sepanyol memaklumkan, dua individu ditahan manakala 22 anggota polis cedera dalam insiden berkenaan.

Guillen menegaskan, penyertaan pasukan adalah berdasarkan peraturan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), sambil menambah pengalaman di Vuelta wajar dijadikan pengajaran menjelang penganjuran Tour de France.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE