fb fb fb fb fb

PKBM hantar barisan terbaik buru emas di sukan SEA Thailand

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan hanya barisan terbaik atlet berbasikal negara akan menggalas cabaran pada Sukan SEA di Thailand, Disember ini.

Antara yang disenaraikan termasuk jaguh keirin negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, bersama Fadhil Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom, dengan misi memburu pingat emas pada temasya dwitahunan itu.

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman, berkata keputusan tersebut telah dibincangkan bersama pengurusan pasukan trek kebangsaan serta Pengarah Teknikal, John Beasley, di Majlis Sukan Negara (MSN).

“Kita akan hantar pasukan terbaik. Dalam tiga edisi Sukan SEA yang lepas, kita tidak menghantar pasukan trek. Saya rasa kali ini keutamaan kita adalah untuk membawa pulang sebanyak mungkin pingat emas.

“Kami akan berusaha, terutama sekarang apabila acara trek diadakan. Itu akan menjadi sandaran utama kami. Kami berharap dapat membawa pulang lebih banyak pingat daripada apa yang dijanjikan pada awalnya,” katanya.

Beliau menambah skuad trek negara berdepan cabaran apabila perlu menyesuaikan diri dengan velodrom terbuka di temasya kali ini yang menggunakan permukaan konkrit, berbeza dengan trek kayu tertutup yang mempunyai kawalan suhu.

Sebagai persediaan awal, pelumba negara telah memulakan latihan beberapa minggu lalu di Velodrom Cheras.

Senarai akhir pelumba basikal trek yang akan membawa cabaran ke Sukan SEA dijadual diumumkan pada 1 September ini.

Sebelum ini, PKBM memperoleh pengiktirafan Kategori A bagi semua pelumba trek dan lebuh raya, sekali gus membolehkan kontinjen negara turun dengan barisan lengkap dalam kedua-dua acara.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN