JAKARTA, 23 Ogos - Atlet olahraga pekak negara terus mendominasi saingan Sukan SEA Pekak 2025 apabila menambah empat lagi pingat emas menerusi acara 200 meter lelaki, 1,500 meter lelaki, lompat jauh serta 4x400 meter lelaki di Pusat Pelatihan Olahraga Pelajar (PPOP) Ragunan, Jakarta, hari ini.
Dalam acara 200 meter lelaki, Muhammad Shahrul Azmeer Azman memastikan emas dengan catatan 22.63 saat, manakala rakan sepasukan Hazrul Shah Hamri meraih perak (22.89s) dan Muhammad Zamir Azman gangsa (23.06s).
Acara 1,500 meter lelaki pula menyaksikan Azlan Kuste menamatkan saingan dengan masa 4 minit 27 saat untuk meraih emas, sekali gus memecahkan rekod edisi 2022 iaitu 4 minit 30 saat. Rakan senegara, Aidil A. Asyraf Juakim, turut memperbaharui rekod lama dengan catatan 4 minit 36 saat untuk pingat perak, manakala gangsa milik atlet Brunei, M. Amiruddin Md Zain (4:44s).
Kejayaan turut hadir dalam acara lompat jauh lelaki apabila Zaiman Megat Abu meraih emas dengan lompatan sejauh 6.82 meter. Hazrul Shah Hamri menambah perak dengan 6.58 meter, manakala gangsa milik wakil Filipina, Jae Phillipe Ciron Arce, dengan 6.21 meter.
Malaysia kemudian menguasai acara 4x400 meter lelaki apabila pasukan A menamatkan saingan dengan catatan 3 minit 34 saat untuk pingat emas. Pasukan B pula meraih perak (3:41s) manakala Indonesia membawa pulang gangsa (3:46s).
Dalam acara 200 meter wanita, Nur Andrina Zainuddin mengukuhkan reputasi selaku pelari utama negara apabila meraih emas dengan catatan 27.63 saat, diikuti rakan sepasukan, Alinda Anastasia Leo, yang memenangi perak (28.83s). Pingat gangsa dimenangi atlet tuan rumah, Selly Dwi Juniarti (29.83s).
Sehingga kini, skuad olahraga pekak Malaysia mendahului carta kutipan pingat selepas mengumpul 10 emas, 8 perak dan 2 gangsa, sekali gus muncul sebagai penyumbang utama kepada kontinjen negara di Jakarta.
