fb fb fb fb fb

Nubis Kubis 1.0 jadi platform bakat badminton wanita RTM

Pengarah Projek, Asnida M. Yassin @ Mat Nasir. Foto- RTM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Seramai 52 peserta melibatkan 26 pasukan menyertai Nubis Kubis 1.0 RTM All Female Badminton Tournament 2025 yang berlangsung di Pusat Rekreasi RTM, Kuala Lumpur.

Pengarah Projek, Asnida M. Yassin @ Mat Nasir, berkata penganjuran kejohanan dalaman khusus untuk wanita yang julung kali diadakan itu signifikan dalam mengeratkan silaturahim warga kerja RTM, selain menjadi platform mencungkil bakat baharu dalam sukan badminton.

“Selalunya kita lihat perlawanan badminton didominasi acara lelaki sama ada perseorangan atau beregu. Jadi, kejohanan ini diadakan khas untuk mencari pasukan wanita berbakat, seterusnya boleh kita gilap potensi mereka untuk mewakili RTM dalam perlawanan persahabatan atau kejohanan luar pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila pendaftaran pasukan penuh dalam tempoh singkat.

“Objektif kejohanan ini tercapai apabila kita berjaya mengumpulkan 26 pasukan dalam masa singkat. Harapan kami agar momentum dan minat bermain badminton dapat dikekalkan, lebih-lebih lagi dengan kemudahan fasiliti sukan yang ada di kompleks RTM,” jelasnya.

Kejohanan Nubis Kubis 1.0 dengan kerjasama AERA Events bukan sahaja menjadi medan persaingan sihat, malah berperanan menyatukan komuniti wanita serta menggalakkan lebih ramai menceburi badminton.

Bagi memeriahkan pertandingan, dua anugerah khas turut diperkenalkan iaitu Woman of the Match untuk pemain paling menonjol dan Dynamic Duo (Best Pair) untuk beregu terbaik.

RTM berharap kejohanan ini dapat dijadikan acara tahunan, bukan sahaja bagi menggalakkan gaya hidup sihat, malah sebagai platform pembangunan bakat sukan wanita di organisasi penyiaran nasional.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN