KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Pasukan Cofidis, yang berstatus WorldTeam dari Perancis, telah menarik diri daripada menyertai PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25). Tempat mereka akan diisi oleh pasukan ProTeam dari Sepanyol, Equipo Kern Pharma.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) Sekretariat PLTdL25, Emir Abdul Jalal, yang memaklumkan bahawa Cofidis telah menghubungi pihak penganjur pada Khamis lalu untuk memaklumkan penarikan diri tersebut.
Susulan itu, pihak penganjur segera menghubungi Equipo Kern Pharma yang berada dalam senarai menunggu, dan menerima pengesahan penyertaan pasukan tersebut untuk edisi ke-29 perlumbaan yang dijadual berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober 2025.
“ Walaupun sedikit terkilan kerana kita kehilangan sebuah pasukan berstatus WorldTeam kali ini, kita tetap yakin kemeriahan persaingan PLTdL25 tidak akan terjejas kerana Kern Pharma juga merupakan sebuah pasukan yang berkualiti tinggi.
“ Disebabkan kesuntukan masa, kita tidak berpeluang untuk melobi pasukan WorldTeam lain sebagai pengganti. Bagaimanapun, Kern Pharma, yang merupakan antara empat pasukan yang terpaksa diketepikan sebelum ini, memberi respon pantas dan menyatakan kesediaan untuk menyertai perlumbaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, Equipo Kern Pharma pertama kali menyertai PLTdL pada tahun 2023, dengan dua pelumbanya mencatat keputusan membanggakan. Pablo Castillo Zapater menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan, hanya 58 saat di belakang juara ketika itu, Simon Carr daripada pasukan EF Education. Seorang lagi pelumba, Jon Agirre Egana, turut menunjukkan prestasi cemerlang apabila menduduki tempat kelapan keseluruhan.
Pasukan itu juga berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kategori Pasukan Terbaik, di belakang EF Education dan Euskaltel-Euskadi.
Edisi ke-29 PLTdL25 bakal berlangsung selama lapan hari, merentasi 12 negeri di Semenanjung Malaysia, meliputi jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer. Perlumbaan akan bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di KLCC, Kuala Lumpur.
PLTdL25 yang berstatus 2.Pro Series dalam kalendar Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN), dengan sokongan daripada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).
