fb fb fb fb fb

Tang Jie-Ee Wei pamer prestasi cemerlang semasa latihan - Rexy

Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, antara sandaran utama skuad badminton Malaysia menjelang Kejohanan Dunia di Paris. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos - Beregu campuran negara, Chen Tang Jie - Toh Ee Wei menampilkan prestasi cemerlang dalam sesi latihan sekali gus memberikan harapan cerah menjelang Kejohanan Badminton Dunia yang dijadual berlangsung Isnin depan di Paris, Perancis.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky yakin pasangan di ranking keempat dunia itu mampu mengekalkan rentak positif ketika beraksi di kejohanan berprestij tersebut.

Kejohanan Badminton Dunia akan berlangsung di Adidas Arena hingga 31 Ogos.

"Saya nampak sudah ada peningkatan di dalam gelanggang. Ee Wei memberikan sedikit dorongan semasa latihan, dan nampaknya dia lebih bersemangat dalam sesi latihan tersebut. Saya juga melihat ada perubahan.

"Walaupun belum begitu ketara namun ada perkembangan positif daripada Tang Jie dan Ee Wei. Bagaimanapun, kita tidak mahu terlalu yakin kerana kejohanan akan bermula minggu hadapan. Diharapkan apa yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tang Jie-Ee Wei pernah menghadapi kesukaran untuk mencapai prestasi terbaik, malah pernah berpisah seketika pada bulan Mac sebelum kembali bersama kurang daripada sebulan selepas itu.

Pasangan berkenaan masih belum berjaya mara ke mana-mana perlawanan akhir dalam kejohanan yang mereka sertai tahun ini, apabila tersingkir di peringkat separuh akhir sebanyak lima kali, termasuk di Terbuka Macau.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN