TOKYO, 12 Mei - Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang raih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki pada saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu di Shizuoka.
Juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu tewas kepada dua pelumba tuan rumah pada aksi final.
Gelaran juara menjadi milik Kaiya Ota sementara rakan senegaranya Yuta Obara di tempat kedua.
Ia merupakan perlumbaan kompetitif di luar negara pertama buat Datuk Azizulhasni sejak meraih gangsa acara keirin pada Kejohanan Kebangsaan Australia 2024, awal Mac lepas.
Pada masa sama, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di kedudukan kelapan.
Sementara itu, dalam saingan wanita, bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri terpaksa akur dengan kehebatan barisan pelumba Jepun yang mendominasi perlumbaan apabila sekadar mengakhiri saingan di tempat ketujuh.
Perlumbaan di Jepun itu sebagai antara persediaan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Paris sebelum menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij itu bermula Julai depan.