fb fb fb fb fb

Liga Super: TFC mula langkah kanan

Para pemain Terengganu FC meraikan gol kedua pasukan ketika menentang Perak FC / Foto BERNAMA

KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Pertemuan Terengganu FC (TFC) menentang Perak FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Kuala Nerus,berakhir dengan keputusan memihak kepada tuan rumah, 3-1 pada saingan pembukaan musim baharu Liga Super Malaysia malam tadi (Sabtu).

Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner memperoleh gol pertama pada minit ke-6 permainan pemain tengah, Nurillo Tukhtasinov.
 
Tersentak dengan gol awal itu, Perak cuba bangkit dengan menyusun kembali serangan.

Namun beberapa percubaan berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.
 
Bersambung babak kedua, pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Manuel Ott menjatuhkan Lee Tae Min.

Sepakan yang diambil kapten, Guaycochea Luciano pada minit ke-60 itu berjaya menyamakan kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, jaringan sendiri Shivan Pillay enam minit kemudian kembali meletakkan skuad Penyu di depan.

Skuad Seladang tambah tertekan apabila pada minit ke-76, Luis Henrique diarah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua akibat mengasari Nik Sharif Haseefy.

Sorakan lebih 8,000 penonton di stadium sekali lagi bergema pada minit ke-81, apabila pemain gantian, Chukwu Nabuike Chijioke meledak gol ketiga pada minit ke-77.

Kedudukan 3-1 kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, ketua Jurulatih Terengganu FC TFC Tomislav Steinbruckner masih berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan anak-anak buahnya meskipun mencatatkan kemenangan sulung di halaman sendiri.

Menurutnya, dia masih melihat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki TFC menjelang perlawanan kedua aksi Liga Super menentang Penang FC Sabtu depan.

"Kita dapat lihat permainan yang dipamerkan TFC goyah selepas pasukan lawan menjaringkan gol penyamaan menerusi penalti. TFC mendapat tiga peluang bagi menjaringkan gol. Corak permainan TFC bertambah baik dengan banyak larian dan tenaga dalam perlawanan ini.

"Secara keseluruhannya, saya berpendapat kita layak mendapat tiga mata penuh malam ini (Sabtu) meskipun perlawanan ini sangat sengit dan mencabar", jelas Steinbruckner yang ditemui RTM selepas perlawanan di sini.

Nada berbeza pula disuarakan oleh pengendali Perak FC, Yusri Che Lah yang melihat layangan kad merah terhadap pemain pertahanannya, Luiz Henrique menyebabkan anak-anak buahnya kehilangan punca pada perlawanan berkenaan.

"Apabila berjaya menyamakan kedudukan, kami sepatutnya perlu mendominasi permainandan cuba mengurangkan kesilapan.Kehilangan pemain akibat layangan kad merah membunuh saki-baki semangat juang para pemain", kata Yusri.

Menurut Yusri, fokusnya kini terarah kepada perlawanan kedua menentang PDRM FC di laman sendiri Jumaat ini. 

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD