YOKOHAMA, 12 Mei - Kelab Jepun, Yokohama F Marinos menewaskan wakil UAE, Al-Ain FC 2-1 pada aksi final pertama Liga Juara-Juara Asia di Nissan Stadium di sini.
Kemenangan itu sekaligus memberikan sedikit kelebihan buat anak buah Harry Kewell menjelang aksi timbal balik di tempat lawan.
Al-Ain bagaimanapun mendahului seawal minit ke-12 menerusi Mohammed Abbas yang berjaya menolak masuk bola selepas percubaan Soufiane Rahimi dihalang penjaga gol.
Gol penyamaan yang dicari hadir pada minit ke-17 menerusi tandukan Asahi Uenaka selepas menerima umpanan Yan Matheus.
Kouta Watanabe kemudian menceriakan penyokong tuan rumah selepas jaringannya pada minit ke-84 disahkan selepas merujuk video bantuan pengadil VAR.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada perlawanan kedua di UAE 25 Mei ini.