fb fb fb fb fb

Holstein Kiel lakar sejarah, naik pangkat ke Bundesliga

Pemain dan penyokong meraikan kejayaan Holstein Kiel mara ke Bundesliga

BERLIN, 12 Mei- Holstein Kiel dinaikkan pangkat ke Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah berikutan keputusan seri 1-1 dengan Fortuna Duesseldorf pada Sabtu, sekali gus menyaksikan peningkatan yang luar biasa daripada divisyen empat Jerman sejak sedekad lalu.

Kiel hanya memerlukan satu mata menentang Fortuna Duesseldorf untuk mendapatkan slot ke liga utama dan mereka mendahului dalam masa dua minit menerusi gol oleh Benedikt Pichler.

Christos Tzolis kemudiannya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti pada minit ke-70, namun Kiel terselamat daripada serangan Duesseldorf, yang memastikan pasukan Marcel Rapp mendapat sekurang-kurangnya tempat kedua dalam kedudukan akhir dan musim sulung dalam Bundesliga musim depan.

"Apabila saya melihat ke padang dan semua orang di atasnya, saya fikir saya berada dalam mimpi," kata pemain tengah Kiel, Philipp Sander kepada Sky Sport Germany selepas peminat Kiel yang berlari meluru ke padang meraikan kejayaan pasukan mereka.

"Kami merendah diri sejak beberapa minggu kebelakangan ini dan saya rasa setiap orang mempunyai beberapa impian, tetapi masih belum mahu mempercayainya kerana kita semua fikir, jika anda membuka mulut terlalu awal, ia mungkin tidak akan berlaku. Sekarang kita baru sahaja melakukannya dan ia sukar dipercayai!"

Perjalanan Kiel melengkapkan satu dekad penuh mencabar yang menyaksikan mereka bangkit dari Regionalliga North, peringkat keempat liga bola sepak Jerman, ke Bundesliga hanya dalam 11 musim.

Kiel telah hampir dua kali naik pangkat ke Bundesliga dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menduduki tempat ketiga pada 2017/18 dan sekali lagi pada 2020/21, tetapi kedua-dua kali tewas dalam play-off.

Keputusan itu juga penting untuk St Pauli, yang turut memastikan mereka kembali ke liga utama Jerman selepas 13 tahun dengan kemenangan di tempat sendiri kepada pasukan tercorot VfL Osnabrueck pada Ahad.

Kemenangan St Pauli juga akan menyaksikan mereka berkelebihan satu mata daripada Kiel dan berada di kedudukan teratas sebagai juara.

Kegagalan Fortuna Duesseldorf untuk menang di Kiel menamatkan harapan mereka untuk dinaikkan pangkat secara automatik, dengan play-off penyingkiran Bundesliga hampir pasti menanti mereka.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE