MELAKA, 12 Mei- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) komited memperkasakan program pembangunan sukan itu bagi melahirkan lebih ramai pelapis dalam kejohanan utama di peringkat antarabangsa kata Presiden MAKAF Datuk Nur Azmi Ahmad.
Program pembangunan yang bermula sejak Mac lepas itu juga sebagai persiapan awal bagi menghadapi Sukan SEA 2027 yang menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah selain menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
"Setakat ini ia melibatkan 16 atlet bagi acara kumite dan 10 kata, seterusnya akan menjadi pelapis untuk diserapkan dalam kem kebangsaan kelak berdasarkan potensi dan prestasi mereka.
"Ini adalah misi dan visi kita untuk program pembangunan dalam memastikan sukan karate ini terus cemerlang dan mampu menyumbang pingat kepada negara," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka di Ujong Pasir di sini.
Selain itu MAKAF juga bekerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menganjurkan satu kejohanan di Bukit Serindit, Melaka membabitkan atlet berusia 15 hingga 17 tahun bawah program bakat.
"Atlet-atlet ini juga akan dimasukkan ke dalam program bakat karate Malaysia yang diadakan di Asahan, Jasi dan dilaksanakan tiga kali setiap tahun," katanya.